top of page

HUKUM BERUBAT DENGAN BOMOH

Setelah hampir dua tahun saya menceburi bidang perubatan secara Islam, apa yang saya dapati ialah masih ramai lagi masyarakat kita yang mempercayai pada keupayaan bomoh dalam mengubat dan menyelesaikan masalah mereka.

Justeru saya menyedari betapa besarnya kesan mempercayai bomoh terhadap akidah kita, maka tergeraklah di hati saya untuk menulis artikel yang berkaitan dengan masalah perbomohan ini.Mudah-mudahan akan memberikan manfaat kepada para pembaca semua.

 

SIAPAKAH BOMOH ?

Bomoh, dukun, pawang dan yang sewaktu dengannya merupakan satu istilah yang tidak asing lagi dikalangan masyarakat melayu. Golongan ini dianggap sebagai mereka yang pandai dalam mengubat, boleh menengok, dan pelbagai kelebihan lagi selalu dikaitkan dengan golongan bomoh.

Kebiasaannya bomoh akan mendakwa yang mereka mengetahui perkara-perkara akan datang. Sebenarnya dakwaan mereka itu adalah bersandarkan kepada bisikan-bisikan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat.

Lalu berita itu ditambah dengan ratusan pembohongan yang kemudiannya dipercayai oleh masyarakat yang mendengar cerita dari bomoh tersebut.

Persoalannya apakah dalam Islam kita diperbolehkan berjumpa dengan bomoh dan menggunakan khidmatnya untuk mengubati kita?

 

Apakah Hukumnya ?

Bagi mengetahui apakah hukum berubat dengan bomoh, mari kita melihat kepada hadis baginda rasul s.a.w yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanyakan sesuatu perkara, lalu dia membenarkan apa yang dikatakan bomoh itu, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari" - ( HR Muslim)

 

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mendatangi bomoh, lalu dia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w" - (HR Abu Daud)

 

Maka apa yang dapat kita fahami dari kedua-dua hadis di atas, menggunakan khidmat bomoh adalah HARAM sama sekali hukumnya.

 

Mengapa Haram ?

Sebab yang paling utama mengapa Islam mengharamkan mendatangi dan mempercayai bomoh adalah kerana ianya membawa kepada kesyirikan. Syirik adalah lawan kepada tauhid. Kalau maksud kepada tauhid ialah meng-Esa-kan segala ibadah hanya kepada Allah, maka maksud syirik pula ialah menyandarkan segala ibadah kepada yang selain dari Allah.

Syirik ialah dosa yang paling besar sekali diantara dosa-dosa besar yang lain. Diantara dalil-dalil yang menjadi bukti betapa besarnya dosa syirik ini ialah:

 

1) Allah tidak mengampunkan dosa syirik

Maksudnya ialah syirik adalah satu-satunya dosa yang Allah tidak akan ampunkan kalau sipelakunya tidak bertaubat sebelum tiba saat kematiannya. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dengan jelas di dalam al-Quran (An-Nisa ayat 48) yang bermaksud:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٲلِكَ لِمَن يَشَآءُ‌ۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

2) Menghancurkan semua amalan

Walaupun Allah telah berjanji akan memberikan fadhilat, kelebihan dan ganjaran akan setiap amalan yang kita lakukan, namun kita mesti peka bahawa ada sesetengah perkara yang boleh merosakkan segala fadhilat, kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan.

Antara perkara yang boleh merosakkan tersebut ialah syirik kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 65 yang bermaksud:

وَلَقَدۡ أُوحِىَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَٮِٕنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

 

3) Membawa kepada kehinaan

Perbuatan syirik akan menjadikan darjat sipelakunya sangat hina. Diumpamakan mereka ini seperti sesuatu yang jatuh dari langit, kemudian disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang sangat jauh. Perumpamaan ini diceritakan sendiri oleh Allah di dalam al-Quran surah Al-Hajj ayat 31 yang bermaksud:

حُنَفَآءَ لِلَّهِ غَيۡرَ مُشۡرِكِينَ بِهِۦ‌ۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَتَخۡطَفُهُ ٱلطَّيۡرُ أَوۡ تَهۡوِى بِهِ ٱلرِّيحُ فِى مَكَانٍ۬ سَحِيقٍ۬

(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).

4) Diharamkan syurga

Tidak seperti dosa-dosa besar yang lain, dosa mensyirikkan Allah akan menyebabkan sipelakunya diharamkan memasuki syurga oleh Allah buat selama-lamanya dan ditempatkan dia dalam neraka. Allah menyebutnya di dalam al-Quran surah Al-Maidah ayat 72 yang bermaksud:

لَقَدۡ ڪَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ مَرۡيَمَ‌ۖ وَقَالَ ٱلۡمَسِيحُ يَـٰبَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبَّڪُمۡ‌ۖ إِنَّهُ ۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَٮٰهُ ٱلنَّارُ‌ۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٍ۬

Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".

5) Zalim yang paling besar

Zalim adalah lawan kepada adil. Maksud adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya, maka maksud zalim ialah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya.

Lalu mengapa syirik dikatakan zalim yang paling besar? Ini kerana orang yang mensyirikkan Allah telah mengurangi hak Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan menyamakan pula Allah dengan makhluknya. Tidakkah itu satu perbuatan yang zalim?

Lihat sahaja nasihat Luqman Hakim kepada anaknya sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran surah Lukman ayat 13 :

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُ ۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ‌ۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٌ۬

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

 

Justeru itu saya menyeru kepada semua masyarakat Islam agar marilah kita sama-sama meninggalkan kepercayaan karut terhadap bomoh kerana ia akan menyebabkan kita terjerumus ke dalam dosa syirik.

bottom of page