top of page

Apa itu Santau, Bahan yang digunakan dan kesannya kepada kita ?

Pernahkah anda, ahli keluarga, jiran, rakan-rakan atau sesiapa sahaja

dari kenalan anda yang pernah terkena santau?

Anda tahu apakah yang dikatakan santau?

Racun santau adalah sejenis sihir yang merupakan racun yang dihantar

kepada seseorang secara zahir atau melalui angin iaitu menggunakan

pemujaan jin dan syaitan.

Mangsa santau selalunya akan dibinasakan secara perlahan-lahan

supaya menderita berpanjangan dan diakhiri dengan kematian atau pun

akan menemui ajal dalam masa yang telah ditentukan oleh sipenghantar.

 

Secara umumnya ada tiga jenis bahan utama yang kebiasaannya digunakan dalam penyediaan racun santau. Tiga bahan tersebut terdiri daripada bahan-bahan gatal (miang), berbisa dan pedih.

Bahan-bahan Santau

1) Bahan bisa santau boleh didapati daripada bahan-bahan untuk membuat racun, contohnya air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, bisa katak puyu, obor-obor, bisa getah ipoh, buah kacang hantu, bisa akar-akar kayu dan sebagainya.

2) Bahan miang atau gatal pula yang selalu digunakan adalah seperti miang sembilu buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu yang masih hidup. Mangsa yang terkena santau ini biasanya akan mengalami kegatalan dibahagian tekak dan badannya akan merasa bisa-bisa.

3) Santau dari bahan pedih atau melukakan pula digunakan untuk menjadikan mansga yang terkena akan merasa pedih. Bahan yang biasa digunakan adalah kaca, mentol lampu, rambut, benang sutera, tali sabut, kuku manusia atau binatang, kelongsong telur ayam, bahan-bahan kotor dari sumber binatang yang telah mati seperti kulit lipas, lipan dan sebagainya.

Melalui mangsa-mangsa santau yang ditemubual pernah terjadi di mana pesakit yang dirawat telah memuntahkan serpihan kaca. Serpihan kaca juga keluar melalui tubuh badannya tetapi tidak dapat dipastikan dari bahagian mana.

Satu lagi santau dipanggil sebagai santau hikmat atau terkenal juga sebagai 'santau angin' atau 'santau seru', di mana santau jenis ini akan dihantar kepada mangsa dengan menggunakan bantuan jin atau syaitan.

Santau ini akan dihantar ke rumah atau tempat kediaman mangsa dan akan menjadikan ahli atau sebahagian penghuni rumah itu akan terkena racun santau tersebut.

 

Jenis-jenis Santau

Secara umumnya terdapat dua jenis santau yang biasa digunakan, iaitu-

1) Santau yang diberikan kepada mangsa melalui makanan. Kesan santau ini biasanya bergantung pada keberkesanan dan kekuatan bahan santau yang telah diadun. Walaubagaimanapun bahan-bahan santau jenis ini mudah keluar melalui saluran najis seperti proses makanan biasa.

2) Santau jenis ini disediakan menggunakan bahan dan kaedah tertentu. Kemudian bahan dan kaedah tersebut akan diadun untuk dijadikan racun santau dengan menggunakan hikmat. Maksud hikmat di sini ialah penyediaannya akan disertai pemujaan kepada jin atau syaitan.

 

Berbeza dengan santau pertama tadi, santau jenis ini sukar untuk keluar melalui saluran najis selagi tidak dikeluarkan menggunakan kaedah tertentu, ia akan kekal di dalam badan mangsa. Walaupun mangsa santau ini telah diubati, namun saki-bakinya yang masih ada di dalam badan akan membiak dan menyebabkan mangsa kembali sakit.

Tanda-tanda terkena racun Santau

Tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu telah pun terkena

racun santau ialah rasa perit dan gatal pada tekak selain ianya akan

disertai dengan gejala batuk. Batuk adalah tanda yang paling biasa

terjadi kepada mangsa-mangsa santau.

 

Diperingkat awal gejala batuk yang dialami akan diikuti juga dengan rasa

pening kepala dan demam pada waktu pagi dan petang.

 

Batuk yang diakibatkan oleh racun santau adalah berbeza dengan batuk

biasa. Batuk ini akan berterusan tanpa mengeluarkan kahak. Dan pesakit

akan mengalami batuk pada waktu-waktu tertentu sahaja contohnya batuk antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi.

Selain itu pesakit juga akan berasa lesu dan demam, tidak boleh tidur malam, rasa gelisah dan hilang keupayaan untuk berfikir. Kadangkala mangsa juga akan mengalami gejala muntah darah.

Darah yang keluar itu disebabkan oleh luka atau kerosakan yang berlaku pada organ di dalam badan dan juga kerana bisa terkena santau atau bahan-bahan yang melukakan.

Bagi mangsa yang telah sampai ke tahap yang serius, batuk yang dialami akan mengeluarkan darah yang bercampur dengan nanah. Selain itu pesakit juga akan terasa seperti sesuatu yang berbau busuk keluar dari saluran tekak.

Ini berlaku disebabkan oleh organ dalaman yang mengalami luka dan telah bernanah.

Simptom dan Kesan Santau

1) Mangsa akan berasa lenguh di sendi terutamanya melibatkan sendi di bahagian lutut dan pinggang.

2) Mangsa akan berasa tidak selesa dan sering rasa sakit kepala.

3) Mangsa akan kurang selera makan.

4) Tabiat dan sikap asal akan berubah contohnya dari tidak pemarah bertukar kepada sebaliknya.

5) Kurang daya ingatan.

6) Sakit di bahagian tengkuk.

7) Kesan lelah atau asma.

Bahan-bahan racun santau ini akan bergerak mengikut peredaran darah dan berhenti di bahagian sendi-sendi mangsa. Kemudian ia akan terus bergerak ke hujung kaki dan tangan.

 

Perhatikan sekiranya kuku anda bertukar kepada warna hitam kebiru-biruan, ini menandakan bahawa kesan racun santau itu sudah sampai ke tahap yang teruk. Pada tahap ini mangsa selalunya akan berasa kebas di kaki dan tangan.

Bahan-bahan santau yang diperbuat daripada bahan-bahan gatal, miang dan berbisa akan terkena pada organ-organ tertentu di dalam badan dan akan menyebabkan organ-organ tersebut akan luka dan seterusnya berkudis.

Kuman-kuman yang berpunca dari kudis itu akan menyerang anggota badan yang lain sedikit demi sedikit. Kuman-kuman ini mungkin akan menyerang paru-paru, buah pinggang dan anggota lain. Serangan pada bahagian ini akan menyebabkan mangsa mengalami sakit sampingan seperti lelah, sakit buah pinggang, hati dan sebagainya.

Bagaimana dilakukan Santau ?

Santau berbentuk fizikal kebiasaannya ialah jenis santau yang diletakkan dalam makanan atau minuman. Antara bahan-bahan yang biasa digunakan dalam santau jenis ini ialah:

    miang buluh
    kaca
    serbuk ipoh
    bisa besi

Apabila dimakan, bahan-bahan tersebut akan masuk ke dalam tubuh badan dan akan melukakan bahagian di dalam perut. Akibatnya mangsa akan mengalami:

    muntah darah
    pitam
    pengsan
    meninggal dunia

Selain itu tahukah anda bahawa terdapat juga santau yang diletakkan pada pakaian, contohnya dalam baju atau kasut. Santau jenis ini akan menyebabkan mangsa mengalami miang dan gatal-gatal pada kulitnya.

Akibatnya mangsa akan menggaru sehingga menyebabkan kulit luka dan racun-racun santau tersebut akan masuk ke dalam saluran darah dan akhirnya akan meracuni mangsa.

Manakala santau angin pula ianya lebih berbentuk mistik kerana melibatkan bacaan jampi-jampi yang tertentu.

Berkemungkinan juga jampi digunakan untuk menyeru jin-jin yang digunakan untuk melaksanakan tugas jahat menyantau mereka yang dianggap musuh.

Menurut kepercayaan masyarakat melayu mereka yang mengamalkan ilmu santau tidak boleh atau sukar mendapatkan zuriat. Ini kerana bisa santau yang diamalkan dibimbangi akan memberikan mudharat kepada anak yang dikandungkan oleh isteri mereka.

 

Santau secara umumnya digunakan untuk meracun dan membunuh atau melumpuhkan musuh.

Antara kelebihan santau ialah:

    Santau tidak dapat dikesan siapa pelakunya kerana selalunya santau dilakukan secara tersembunyi
    Penggunaan bahan-bahan organik dan kaca dalam penyediaan santau juga menyebabkan ianya sukar untuk

    dikesan melalui perubatan kerana buluh dan serbuk kaca sukar untuk dikesan samada menggunakan x-ray

    mahupun ultrasound.

Santau angin biasanya akan dihembus agar habuk berbisa dibawa angin ke arah mangsa dan akan masuk ke dalam paru-paru. Oleh itu mereka yang berada berdekatan dengan mangsa juga boleh terkena habuk berbisa tersebut.
   

Disebabkan santau biasanya disediakan dalam bentuk serbuk, kebarangkalian mereka yang membuatnya akan turut terhidu serbuk tersebut dan akan memberikan kesan jangka panjang yang buruk.
   

Santau biasanya mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kesan, mungkin dalam beberapa minggu atau tahun.

 

Amalan atau Tips mengelak Santau

Menurut pengamal perubatan Islam yang tidak asing lagi di Malaysia khususnya, iaitu Ustaz Ismail Kamus, antara kaedah yang boleh diamalkan dari menjadi mangsa perbuatan santau ialah:

   

1. Sebelum berangkat ke tempat makan, baca surah al-Quraisy sebanyak satu kali.
2. Setelah sampai ke tempat makan, baca sekali lagi surah al-Quraisy.
(ayat 1-4)


لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ (١) إِیلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ (٢) فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَيۡتِ (٣) ٱلَّذِىٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٍ۬ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ (٤)   

Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah)

(laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam),

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,

Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.

3. Kemudian baca ayat mengelakkan gangguan seperti di bawah. Selepas dibaca, perhatikan bayangan wajah

    anda di dalam air. Sekiranya dapat dilihat maka air tersebut selamat diminum, tetapi jika sebaliknya, elakkan

    dari meminum air tersebut.
4. Kemudian sebelum makan baca lagi ayat mengelakkan gangguan, dan pusingkan pinggan. Sekiranya terdapat

    santau dalam makanan tersebut, insyaAllah dengan izin Allah pinggan tersebut akan pecah.

Jadi nasihat saya agar kita sama-sama mengamalkan surah al-Quraisy sebagai satu amalan yang mudah-mudahan dengannya Allah akan pelihara kita dari kejahatan manusia yang menyantau manusia.

 

 

bottom of page