top of page

BOLEHKAH MANUSIA BERKAHWIN DENGAN JIN ?

Walaupun jin dan manusia merupakan dua dari makhluk ciptaan Allah, namun keduanya diciptakan dari unsur berlainan dan tinggal di alam yang berlainan.

Jin merupakan makhluk wujud yang hakikat jasad dan rupa aslinya tidak dapat dilihat oleh manusia. Sama dengan ciptaan Allah yang lain seperti angin, ruh, malaikat dan sebagainya.

Lalu, persoalannya bolehkah manusia berkahwin dengan jin? Atau lebih khusus lagi bolehkah seorang muslim berkahwin dengan jin wanita yang Islam?

Jin dan Manusia Berkahwin ?

Sebenarnya persoalan ini pernah ditanya oleh seseorang kepada Tuan Guru Dato' Harun Din satu masa dahulu. Menurut beliau, persoalan berkaitan dengan perkahwinan antara jin dengan manusia dari segi sejarah boleh dilihat antara Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis.

Menurut beliau bapa Ratu Balqis ialah manusia dan ibunya ialah jin, yang bernama Balqmah binti Saisan.

Kisah ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah. Anda boleh rujuk hadis tersebut di dalam kitab al-Jami' as Saghir oleh Imam Sayuti.

Tetapi apabila berbalik kepada hukum al-Quran, Allah telah berfirman (Surah An-Nahl, ayat 72) yang bermaksud:

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا وَجَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَزۡوَٲجِڪُم بَنِينَ وَحَفَدَةً۬ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ‌ۚ أَفَبِٱلۡبَـٰطِلِ يُؤۡمِنُونَ وَبِنِعۡمَتِ ٱللَّهِ هُمۡ يَكۡفُرُونَ

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?

Firman Allah lagi yang bermaksud: (Surah ar-Rum ayat 21)

وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةً‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Berdasarkan dua maksud ayat di atas dapatlah kita fahami bahawa jalan untuk mendapatkan ketenangan ialah melalui perkahwinan sesama manusia juga.

Selain itu beliau juga berkata bahawa beliau tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan pasangan diantara manusia dan jin. Mungkin masyarakat akan melabelkan seseorang itu sebagai gila kerana bercakap seorang. Apa tidaknya, hanya sisuami sahaja yang dapat melihat isterinya sedangkan orang lain tidak nampak.

Tambah pula kalau sisuami itu sendiri tidak dapat melihat isterinya. Bagaimana untuk diselesaikan masalah sekiranya terjadi perselisihan faham diantara keduanya.

Ada juga hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah menegah perkahwinan diantara manusia dan jin.

 

Maka berpandukan kepada ayat dan hadis di atas, jumhur ulama telah berpendapat bahawa tidak harus manusia mengahwini jin, jika berlaku, maka perkahwinan tersebut tidak sah. Jika berlaku persetubuhan, maka ianya haram.

Tetapi berbeza dengan pendapat Imam Malik bin Anas yang mengatakan bahawa perkahwinan tersebut adalah makruh dan ada segelintir ulama yang menyokong pendapat tersebut.

Walaubagaimanapun, perkahwinan itu suatu perkara yang suci, yang mesti diketahui syarat sahnya perkahwinan, dan yang paling asas sekali ialah agama.

Jika jin itu bukan Islam, maka perkahwinan tersebut tidak sah. Kalau jin itu Islam, bagaimana pula dapat kita pastikan yang ianya suatu perkataan yang benar. Bolehkah kita terima pengakuan yang keluar dari mulut jin tersebut.

Apa yang dapat dirumuskan oleh Tuan Guru dalam masalah ini ialah jalan terbaik yang boleh diambil kahwinlah dengan manusia, seperti yang disuruh oleh Rasulullah iaitu:

 

"Kahwinlah dengan wanita-wanita dari kalangan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta"

bottom of page