top of page

SAKA

 

​Secara ringkasnya saka itu adalah jin-jin yang diwarisi secara keturunan yang diambil atas tujuan-tujuan tertentu, contohnya untuk kekuatan, kecantikan dan sebagainya. Ianya diwarisi kepada manusia lain samada secara sedar atau tidak sedar dan kebiasaannya melibatkan keturunan.

Sebenarnya apa saja jenis jin-jin yang diambil adalah tergolong dalam istilah saka samada jin keturunan, jin silat, jin tariqat ataupun hantu-hantu seperti hantu raya, jin perubatan/perbomohan, jin nenek moyang dan sebagainya.

Namun, menurut kepercayaan masyarakat Melayu, saka adalah jin atau nenek moyang yang diturunkan oleh orang tua dahulu kepada orang muda selepasnya yang biasanya mempunyai pertalian darah, contohnya seperti cucu, cicit, anak saudara dan sebagainya.

Dan lebih khusus lagi, masyarakat Melayu akan menggelar saka sekiranya berlaku perkara yang tidak sepatutnya berlaku kepada ahli keluarga mereka. Contohnya seperti berbual atau pun ketawa berseorangan, mengamuk tak tentu pasal dan sebagainya. Dalam pengalaman saya, ada sesetengah kes saka ini berlaku penjelmaan seperti binatang contohnya ketika dirawat pesakit akan mengaum seperti harimau.

Manakala kepada jin-jin silat atau pun yang digunakan dalam perubatan, biasanya tidak dinamakan saka oleh masyarakat Melayu kita. Selain itu jin-jin Islam dan juga jin-jin yang soleh juga tidak disebut sabagai saka.

Jenis-jenis Saka

1. Saka binatang

2. Saka bukan binatang

Saka Binatang

Antara binatang-binatang khusus yang dikaitkan dalam saka binatang ini ialah seperti berikut:

1) Saka harimau : Dinamakan saka harimau kerana akan menjadikan tuannya bersifat berani dan gagah. Selain

    itu saka harimau juga digunakan untuk menakut-nakutkan musuh tuannya.

2) Saka buaya : Kebiasaannya saka jenis ini digunakan bertujuan untuk menjinakkan haiwan-haiwan buas

    contohnya seperti buaya.

3) Saka ular : Manakala saka ular pula digunakan oleh mereka yang membela ular dan peminat-peminat ular

    bertujuan untuk menjinakkan atau mengawal haiwan tersebut.

 

Saka Bukan Binatang

Untuk saka jenis ini, antara istilah yang dikaitkan dengannya ialah:

1) Saka bomoh : Oleh kerana namanya bomoh, saka jenis ini biasanya digunakan dalam bidang perubatan dan

    untuk mengubati penyakit.

2) Saka susuk : Manakala saka susuk pula diambil bertujuan untuk menjadikan tuannya kelihatan cantik. Namun

    jangan ingat kaum wanita sahaja yang mengambil saka susuk ini. Kaum lelaki juga tidak terkecuali.

3) Saka kuat : Biasanya diambil bertujuan untuk menjadikan tuannya kuat, mampu untuk mengangkat barang-

    barang yang berat dan juga menjadikan tuannya kebal dari sebarang senjata.

4) Saka bidan : Mendengarkan namanya sudah pasti anda dapat mengagak tujuan ianya diambil. Bertujuan

    digunakan dalam bidang perbidanan dan juga untuk urutan selepas bersalin.

 

Apakah tujuan diambil jin saka?

Kebiasaannya masyarakat dahulukala suka mengambil jin-jin ini bertujuan untuk melindungi diri dan keluarga, rumah atau tanaman. Bahkan sudah menjadi budaya kepada mereka untuk mengambil jin-jin ini sebagai pembantu dalam kehidupan seharian dan boleh dikatakan tidak lengkap sekiranya tidak diambil pembantu dari kalangan jin.

Umur jin adalah jauh lebih panjang dari umur manusia. Golongan jin yang berumur pendek pun mencecah ratusan tahun dan kalau yang berumur panjang boleh mencecah sehingga ribuan tahun. Oleh kerana telah ada perjanjian diantara jin tersebut dengan manusia yang membuat perjanjian (tuan jin), maka jin tersebut akan terus mendampingi tuannya sehinggalah jin tersebut dibuang yang dinamakan sebagai buang saka. Setelah tuan punya jin tadi meninggal dunia, maka jin tersebut akan mencari pula keturunan tuannya untuk dijadikan tuan yang baru.

Disebabkan jin berumur panjang maka jin saka ini akan terus mendampingi keturunan tuan asalnya hinggalah sampai kepada beberapa keturunan. Sekiranya jin tadi banyak ataupun jenis yang beranak pinak, maka ia akan terus mendampingi manusia dari kalangan tuan asalnya.

 

Apakah Saka ?

Saka adalah satu istilah yang digunakan oleh tukang ubat atau bomoh-bomoh tradisional. Ia merujuk kepada satu keadaan gangguan spiritual yang berlaku kepada manusia.

Kebiasaannya gangguan saka melibatkan kaum wanita, namun ada juga kes yang melibatkan kaum lelaki. Saka biasanya dikaitkan dengan makhluk halus yang diamanahkan untuk menjaga seseorang. Maka atas tujuan menjaga tersebutlah telah berlaku gangguan-gangguan spiritual yang dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

 

Saka juga dikaitkan dengan makhluk halus yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk dan nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini.  Kemudian kepada makhluk ini telah dipesan atau diamanahkan untuk menjaga keturunan mereka.

Atas pesanan inilah akhirnya makhluk tersebut telah mengawal keturunan tuannya yang sebenarnya adalah gangguan. Dan gangguan inilah dikatakan sebagai gangguan saka.

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka.

 

Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana ia menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

 

Adakah sama Saka dan Qareen ?

Istilah saka selalu kita dengar di dalam kaedah rawatan secara Islam. Namun berbeza dengan qareen yang jarang kita dengar digunakan di dalam rawatan. Walaupun begitu kedua istilah tersebut mempunyai persamaan iaitu melibatkan makhluk jin.

 

Persoalannya apakah perbezaan diantara keduanya?

Dalam Surah Qaf, ayat 27 bermaksud:

قَالَ قَرِينُهُ ۥ رَبَّنَا مَآ أَطۡغَيۡتُهُ ۥ وَلَـٰكِن كَانَ فِى ضَلَـٰلِۭ بَعِيدٍ۬

(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, berkatalah Qareen bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong".

Ini merujuk kepada perkataan Qareen. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qareen.

Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya):

"Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qareen (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qareen, baginda menjawab, ya, saya pun ada qareen itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qareen itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan." (Riwayat Muslim).

 

Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata:

 

"Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan."

 

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qareen, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qareen ini, inikan pula insan biasa.

Oleh yang demikian, jelas bahawa qareen ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qareen ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qareen inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qareen adalah makhluk halus yang jahat.

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua'lam.

Tanda Mungkin anda mempunyai Saka ?

Sebelum saya menulis tentang tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu berkemungkinan mempunyai saka, saya peringatkan terlebih dahulu bahawa apa yang saya kongsikan bukanlah saya ambil dari mana-mana kitab atau pun dari mana-mana dalil syarak.

 

Tetapi apa yang saya kongsikan ini berdasarkan pengalaman dan kajian saya selama saya berada dalam bidang perubatan Islam. Oleh kerana ianya hanya sekadar pengalaman, saya tidak memaksa anda untuk

mempercayainya.

Terpulanglah kepada anda untuk membuat penilaian dan seterusnya mengambil apa-apa tindakan yang dirasakan perlu.

 

Tanda yang ingin saya nyatakan di sini ialah apabila anda bermimpi melihat arwah ahli keluarga samada emak, ayah, datuk atau nenek, yang datang menyerahkan sesuatu kepada anda. Contohnya seperti bungkusan dan antara yang paling biasa ialah menyerahkan bayi.

 

Dalam banyak-banyak kes yang melibatkan saka yang di soal siasat, kebanyakan dari mereka pasti akan mengalami mimpi seperti yang saya nyatakan di atas.

 

Jadi sekiranya anda juga ada mengalami mimpi seperti itu, segeralah ke mana-mana pusat rawatan dan buat rawatan segera. Namun saya peringatkan sekali lagi bahawa apa yang saya tuliskan di sini hanyalah melalui pengalamn semata-mata.

Nasihat dari Kami....

Sebagai kesimpulan dari artikel ini, biar apa pun jenis saka dan apa pun tujuannya, haruslah ditanamkan di dalam hati bahawa yang dapat mendatangkan mudharat dan manfaat kepada kita hanyalah Allah semata-mata.

Yakinlah bahawa walaupun memang Allah memberikan pelbagai kelebihan kepada golongan jin ini seperti berumur panjang, pantas dan kuat, hakikatnya semuanya itu terjadi atas kehendak Allah jua.

 

bottom of page